Friday, September 5, 2008

Catatan Ramadhan #1



Masjid Orang Tua VS Masjid Orang Muda

Pernah suatu ketika ketika menghadiri satu seminar di UPM, ada seorang pensyarah pada masa itu memberikan ceramah. Terlupa pula apa tajuk ceramahnya. Akan tetapi beliau pernah berkata “ Di masjid ramai orang tua, dan memang susah nak tengok sorang dua orang muda menyinggah masuk solat di masjid. Kenapa ramai orang-orang tua? Kalau kamu rasa nak panjang umur, selalulah berkunjung ke masjid kerna di sana ramai orang tua”

Ucapannya amat menyentuh hati. Pada masa itu masih bergelar pelajar, so rasa insaf tu datang. Now living kat bumi US ni agak mencabar. Solat jamaah? Boleh di kira dengan jari. Dan hanya mengharapkan waktu hujung minggu untuk berkunjung ke masjid yang terletak kira-kira 10km dalam 15 minit perjalanan dengan kereta. Kadang-kadang waktu kuliah bertindih dengan waktu solat dan mungkin itu menjadi kekangan dan pernah juga jamaah dengan ikhwah-ikhwah di sini tika tiada kelas.

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin akan berlumba-lumba mengerjakan ibadat. Saban malam, masjid dan surau akan dipenuhi dengan saf-saf manusia yang tidak mahu melepaskan peluang ganjaran tidak ternilai dari Allah s.w.t. Malah, terdapat surau dan masjid yang mengadakan majlis berbuka puasa setiap hari hasil sedekah dan infaq ahli qariah. Subhanallah, betapa indahnya bulan ini apabila segala kebaikan terhimpun di dalamnya.

Untuk catatan ini, saya berminat untuk menarik perhatian kita semua tentang senario beribadah di negara kita. Kebiasaannya, masjid dan surau diuruskan oleh golongan-golongan tua atau senior. Mungkin, setelah umur pencen, apa lagi yang mereka ingin lakukan melainkan memperbanyakkan ibadah dan merehatkan diri di rumah Allah. Dari urusan tok siak, pemegang kunci, muazzin, imam, hinggalah ke urusan mencuci tandas dan juga menghidangkan makanan. Sejuk juga hati melihat ada anak muda yang ikut membantu. Namun, senario yang biasa kita lihat adalah masjid menjadi milik orang-orang tua.

Anak-anak kecil ke Masjid

Panggilan untuk menunaikan solat sunat terawih menyebabkan ibu-ibu muda yang mempunyai anak-anak kecil turut sama hadir tidak mahu melepaskan peluang beribadah ini. Apakah sifat semulajadi anak-anak kecil? Duduk diam atau berlari? Pastinya mereka akan membuat bising dan menangis ketika bermain. Melainkan terdapat ruang khas di pinggir kawasan solat untuk mereka bermain. Jika tiada, nasib tak baik lah anak-anak kecil ini dimarahi oleh nenek atau datuk jemaah masjid. ”Apa bising-bising ni? Orang nak solat buat bising!!” Paling ringan, mereka akan ditenung tajam oleh jemaah yang lain. Ini lah nasib anak-anak kecil ini. Apakah jalan selamatnya? Jangan bawa anak-anak kecil ke masjid. Titik.

Saya juga berpeluang menunaikan solat di masjid sebuah universiti Islam berhampiran. Mungkin kerana jemaahnya adalah di kalangan Islam bukan-Melayu dan juga pelajar yang telah mempunyai anak, mereka tiada pilihan selain daripada membawa anak-anak kecil ini ke masjid. Allahu akbar! Hiruk pikuk dan penuh kanak-kanak berlarian ke sana sini. Hairan bin ajaib, tiada suara jemaah yang mengherdik mereka. Saya selesa di sini. Saya tidak terganggu beribadah walau pun ramai lagi anak-anak kecil lain. Tidak ramai orang-orang tua di sini. Yang berdiri, rukuk dan sujud kebanyakannya adalah orang-orang muda.

Saya tidak mengatakan masjid ini lebih mulia dan afdal. Tapi, saya menggambarkan sebuah masjid yang children-friendly. Masjid yang menjadi tempat berpaut hati anak-anak muda untuk terus mengimarahkannya. Apabila anak-anak kecil diraikan kehadirannya di masjid, sampai besar pun mereka tidak malu alah untuk menjejakkan kaki ke sana.

Sampai bila akan ada label masjid orang tua dan masjid orang muda pun saya tak tahu. Seharusnya, masjid itu adalah tempat berkumpul semua ahli qariah dan pusat aktiviti sosial. Tidak perlu dilekatkan papan tanda besar larangan-larangan yang tidak munasabah seperti ’Dilarang Tidur’ dan ’Had untuk anak-anak bawah umur 7 tahun’. Wallahua’lam.

RUJUKAN:
Sebahagian tulisan diambil daripada email salah seorang sahabat, saudara Anfaal Saari

Wednesday, September 3, 2008

USM berjaya dipilih sertai program Apex-updated

Akhirnya... berjaya juga pihak KPT mengenalpasti universiti-universiti yang layak disenaraikan sebagai universiti APEX. Bukan apa... suatu ketika saya pernah pergi ke majlis pembukaan dan perasmian cadangan oleh Pak Pa kita dan juga PM datang untuk merasmikan acara itu. Ingatkan hanya retoric saja. Tak sia-sialah pergi dengan arahan Ketua Jabatan dan jenuh dengan memandu kancil kawan saya dan di samping mendengar 'bebelan' dia dan pada masa yang sama dia ingin bertemu kawan baik dia di sana.Harap tuan punya badan tak marah masa baca blog nih! hahhaha :) peace!

Overall, pujian harus diberikan kepada pihak berwajib telah menjalankan tugas dengan baik dan kini bermulalah era sebenar revolusi dasar-dasar universiti dan pengajian tinggi di Malaysia yang pada masa kini dilihat sebagai kilang melahirkan graduan untuk berkerja di dalam sektor awam dan juga swasta.

*********************************************

PUTRAJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya dipilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau Apex dengan mengetepikan tiga lagi universiti, termasuk Universiti Malaya (UM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemilihan USM adalah berdasarkan kepada pelan tranformasi dan kesediaannya untuk berubah seperti yang terkandung dalam kertas cadangnnya, memenuhi kriteria pemilihan yang diperlukan.

“Pemilihan bagi program Apex tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan serta sama ada universiti itu dapat mencapai status bertaraf dunia dalam tempoh yang diberikan iaitu lima tahun,” katanya semasa mengumumkan pemilihan USM di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh itu, USM mesti berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan berada di dalam senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020.

“Kita lihat dulu bagaimana kejayaan USM selepas itu barulah keputusan dibuat sama ada akan terdapat satu lagi universiti dipilih untuk program Apex,” katanya.

Ditanya mengapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata: “Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain akan dipinggirkan sebaliknya diharapkan ia akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia.”

Sebanyak sembilan universiti seluruh negara telah menghantar permohonan dan hanya empat universiti iaitu USM, UM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disenarai pendek.

Kertas cadangan USM bertemakan “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow”.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan dijanjikan autonomi daripada segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian. — Bernama

RUJUK DI SINI!

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20080903175733/Article/index_html

Monday, September 1, 2008

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan…



Kepada semua sahabat handai di luar sana, tidak lupa jua kepada keluarga, serta semua sedara-maraku, mohon dimaafkan segala khilaf yang pasti ada dan dosaku sebelumnya, agar ringan jiwa ini menahan beban dosa dan alpa yang tersisa.

Salam Ramadhan kepada semua sahabat dan juga kaum keluarga yang diingati selalu.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Rmadhan itu dibuka segala pintu syuga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelengu segala syaitan” (Muhammad s.a.w)


Al-fakir fillah
A.Suhaizi, NE, USA